Thursday, September 17, 2009

AKU DAN PERJUANGAN..



BISMILLAHHIRRAHMANIRRAHIM…
Aku naik saksi tiada tuhan yang di sembah melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah..

Hari ini, aku kembali menulis. PENULISAN. Medan yang telah hampir setahun aku tinggalkan. Kenapa? Kerana masa mengajar aku untuk mengejar bagi memperolehi sesuatu. Agak janggal juga ketika mula mengadap halaman microsoft word ini. Masakan tidak. Setahun di tinggalkan, bukan sehari. Aku akui aku tidak sehebat Faisal Tehrani, juga bukan penulis Thriller yang di geruni seperti Ramlee Awang Mursyid, jauh sekali untuk berdiri sebaris dengan nama2 besar yang telah memperolehi pingat kebesaran. Tetapi aku menulis kerana perjuangan. Menulis kerana kehidupan. Biarlah orang mengkritik hasil karyaku yang tidak bermutu asalkan aku mengecapi kepuasan. Aku rasa syukur yang amat sekiranya ada orang yang berubah kearah kebaikan setelah membaca tulisanku yang serba tidak lengkap seperti karangan pelajar tahun satu ini .

Bagiku, karangan pelajar tahun 1 itu lebih tulus dan jujur kerana jiwa mereka itu masih putih. Tulisan mereka diadaptasi dari rasa hati yang penuh dengan kejujuran. Dan itulah yang aku lakukan selama aku mengenal pen dan kertas sehinggalah aku dihadiahkan dengan laptop ini. Jika dulu aku menjadikan penulisan sebagai medan dakwah yang utama, lama-kelamaan aku menyedari bahawa aku harus bergerak merentasi masa .Tidak boleh membiarkan tangan terus menulis mewakili lidah sedangkan lidah yang hakiki tidak aku gunakan.Aku punya kudrat untuk melakukannya, kenapa harus berdiam diri? Aku akui akan kepentingan penulisan dalam menyebarkan risalah dakwah. Jika tidak, masakan Allah mewujudkan suatu surah di dalam Al Quran yang di namakan dengan Al Qalam yang bererti pena. Cumanya aku sekarang lebih senang memilih berdakwah melalui lisan dan contoh tauladan. Sebabnya? Semua berpunca dari kesedaran dan kefahaman.

Dulu aku faham juga cuma mungkin kurang kesedaran. Sebab itu aku memilih untuk tidak terlalu menonjolkan diri. Nanti di cop itu dan ini sedangkan aku sebenarnya seorang yang bebas. Bebas dalam erti kata tidak terikat dengan mana-mana pertubuhan. Bagiku, mana-mana sahaja organisasi yang menjadikan Al Quran dan As Sunnah sebagai cara hidup, secara automatik aku akan membenarkannya. Aku bukan budak kecil lagi. Akalku sudah sempurna untuk membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Jadinya, aku bebas memilih hala hidup aku tanpa perlu di tentukan oleh orang lain. Aku masih ingat kata-kata ayah ketika orang ramai mengajukan pertanyaan ‘kenapa tak ceramah politik?’ Bilang ayah ‘saya bebas.Saya tidak memihak pada siapa-siapa sebabtu saya tak ceramah politik. Kalau saya ceramah UMNO, mana dia orang PAS yang nak datang dengar? Kalau saya ceramah PAS, mana dia orang UMNO yang nak datang dengar? Kita dah rugi satu ilmu.’

Untuk kesekian kali aku angkat tangan sampai atas kepala, menunjukkan betapa bangganya aku dengan jawapan ayah. Itulah yang aku pelajari dari seorang ayah. Ayah orang yang sarat dengan falsafah sedang aku? Penuh dengan falsampah. Ayah banyak mengajar aku cara untuk menjadi seorang daie. Bilang ayah, ilmu harus diterapkan dengan faham dan sedar. Kemudian aturkan binaan stategi yang mantap. Baru akan terhasil tsunami yang bisa menggoncang dunia. Aku meneliti kronologi perjalanan hidup ayah. Penuh dengan cerita duka dan airmata. Sarat dengan cacian, hinaan dan fitnah melata. Semuanya ayah hadapi dengan penuh kesabaran. Jika 10 tahun dulu, ayah di letakkan dalam longgokan ‘besi berkarat’ tapi berkat kesabaran 10 tahun tersebut, hari ini Allah gantikan tempat ayah dalam longgokan permata yang berkilauan. Dan hari ini ayah boleh berdiri dan tersenyum bangga sambil menyatakan ‘Janji Allah adalah benar. Sesungguhnya Allah beserta dengan orang-orang yang sabar’. Sungguh bahawa Allah tidak pernah memungkiri janji.

Hari ini giliran aku mengikut jejak langkah ayah-mengumpulkan papan-papan bagi membina sebuah sampan untuk di bawa belayar ke sungai. Kata ayah, hidup ini punya sunnah dan fitrah. Untuk melakukan sesuatu yang besar, harus bermula dengan yang kecil. Kata ayah lagi ‘perubahan yang kecil adalah perubahan dalam perbuatan sedangkan perubahan yang paling besar apabila kita berjaya mengubah pemikiran. Aku setuju bahkan aku memerlukan pernyataan tersebut. Kenapa? Terlalu banyak soal ‘KENAPA’ di ajukan. Jawapanku mudah. Apa yang membelenggu pemikiran kita dari melakukan sesuatu adalah diri kita sendiri, berpunca dari pemikiran atau dalam bahasa inggerisnya di sebut sebagai mind setting. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk melakukan anjakan paradigma. Yang menjadikan perkara itu mustahil adalah pemikiran kita. Kenapa? Kerana kita belum cuba untuk melakukannya lantas terus menyatakan ‘MUSTAHIL!’

Seawal terjun ke bidang dakwah lagi ayah sudah mengingatkan, berjuang di medan dakwah tidak sama seperti berjuang di medan peperiksaan. Berjuang di medan peperiksaan, cuma perlu memerah otak semata-semata sedangkan perjuangan di medan dakwah bukan saja memerlukan kekuatan mental malah fizikal dan spiritual sebagai nadi penggerak paling utama. Semangat ayah terasa mengalir di segenap urat sarafku. Sejujurnya, aku bangga menjadi anak ayah. Cuma aku tidak betah apabila orang sering menyamakan aku dengan ayah. Antara ayat2 yang acapkali aku dengari ‘patutkan pandai bercakap.Tengok ayah lah pulak’. Aku mahu di kenali sebagai aku. Aku mahu membina empayarku sendiri tanpa di bayangi siapa-siapa. Aku punya hadaf tersendiri yang tidak perlu aku khabarkan kepada setiap orang. Tidak ada apa yang mustahil di dalam dunia ini selagi Allah izinkan.

Belajarlah dari kejayaan orang lain. Itu pesan ayah. Aku pegang, aku genggam erat-erat nasihat ayah, lantas aku masukkan dalam hati. Kerana itu jugalah aku memilih dakwah bil hal wa bil lisan sebagai medium yang menghubungkan aku dengan masyarakat atas nama dakwah dan tarbiah. Aku memujuk diri ‘berjuang memang pahit kerana syurga itu manis’. Memilih dakwah sebagai medan jihad bukan sesuatu yang mudah kerana aku perempuan. Ada batas yang perlu di jaga. Aku khuatir andai dalam melaksanakan perjuangan tersebut, aku melanggar norma-norma yang telah di tetapkan kerana aku seorang yang agak ‘gila’. Gila apabila berbicara, terkadang ‘gila’ dalam perbuatan. Bukan gila sebarangan cuma ada ketika aku larut dalam emosi yang aku ciptakan sendiri. Hakikatnya, aku terlalu sensitif dengan ayat-ayat sumbing dari orang-orang yang sumbing agamanya. Bukan menghina cuma aku sudah jemu melayan kerenah orang-orang sebegini.

Cukuplah dengan apa yang sudah aku lalui di universiti. Kata-kata kak Liza semasa kami menjamu selera di dewan makan tidak berapa lama dulu kembali bertandang melewati kotak fikiranku -‘belajarlah dari kesabaran seorang lelaki’. Termangu aku di buatnya. Benar kata kak Liza. Belum sempurna jalan dakwahku sekiranya nasihat itu aku abaikan dan di biarkan berlalu di tiup angin. Itu panduan berguna untukku kerana aku tidak seharusnya membiarkan emosi menguasai akal. Apabila emosi sudah menguasai akal, maka manusia akan bertindak di luar batas kewarasan dan seringkali terjadi manusia membunuh seorang manusia lain kerana emosi. Kerana itu di dalam suatu hadith nabi menyebutkan, mafhumnya ‘orang yang paling baik antara kamu adalah orang yang dapat menahan rasa marahnya’.

1 perkara lain yang aku pelajari , belajarlah untuk memahami, baru kita akan di fahami. Ini bermakna, kita memerlukan konsep ‘take and give’ iaitu menerima dan memberi tidak kira dari pihak daie atau mad’u itu sendiri. Dan aku belajar akan peri pentingnya untuk kita menghargai persamaan serta menghormati perbezaan. Itu konteks dakwah yang aku fahami sebagaimana yang di ajar oleh Imam Syafie ketika beliau berselisih pendapat dengan imam hanafi tentang perkara yang membatalkan solat. Imam Hanafi menyatakan bahawa terbatal solat sekiranya sendawa dan tidak batal sekiranya membuang angin (kentut). Imam Syafie langsung tidak menyalahkan pendapat Imam Hanafi sebaliknya apabila khilaf dengan pendapat tersebut, beliau telah mengeluarkan 1 pendapat yang lain. Inilah yang perlu kita contohi dalam permasalahan ‘adabul khilaf’. Ini bekalan penting dalam perjuangan.

Untuk menjadi seorang pejuang, kita harus berjiwa besar. Jika kita berjiwa besar, datanglah seribu anak panah sekalipun ,takkan mampu mnggoyahkan hati kita dalam menegakkan kalimah Allah di muka bumi. Sekalipun aku syahid di atas jalan dakwah ini, ku harap, pengorbananku tidak sia-sia. Aku sayang akan saudara seagamaku. Kerana itu aku memilih jalan ini. Mungkin di dunia aku bakal di kurung di bawah ISA atas nama perjuangan tapi ingatlah, tiada satu ISA pun di muka bumi ini yang mampu menandingi ISA Allah. Sebelum mengakhiri coretan ini, aku ingin memetik kata-kata Ust Azman kepada para pelajar dalam sesi ceramahnya yang terdahulu sebagai renungan kita bersama. Katanya ‘kalau kamu tak mampu bina sebuah rumah, janganlah kamu menjadi orang yang ‘bergayut’ (berpaut) pada rumah tersebut’. Moga Islam tidak hancur di tangan umat Islam sendiri seperti mana hancurnya kerajaan Islam Uthmaniyyah di Turki. Nauzubillahhiminzalik. Moga Allah melindungi kita semua dari kebinasaan.InsyaAllah..


-AL HAQIRAH ILALLAH-

0 comments:

Post a Comment