Wednesday, November 4, 2009

MAJLIS WALIMATUL URUS



Aku baru saja mendapat panggilan telefon dari seorang teman. Teman yang ku kira ‘dekat’ denganku masa di universiti dulu. Orang Kelantan. Sengaja ku gunakan istilah dekat. Kiranya, mengikut perumpamaan, kalau tangan kananku dipegang oleh teman yang sangat akrab denganku dari Sabah, tangan kiriku pula dipegang oleh temanku yang satu ini. Dia yang senang dipanggil Kak Idah seringkali mencuit hati teman2 dengan telatahnya. Aku mengenalinya sejak di semester 1 lagi sementelah kami berada dalam kelas yang sama, juga dalam syu’bah yang sama. Aku sangat menyenanginya. Tingkahnya, bicaranya..sangat menghiburkan. Loghat kelantannya boleh dikelaskan sebagai tegar tapi masih boleh difahami. Dia seorang yang sangat bersahaja. Kak Idah satu2nya teman yang masih setia menghubungi aku hingga kini. Almaklum, aku tidak punya kakak. Dia pernah memberitahu kalau aku ini sudah dianggap seperti adik kandungnya sendiri. Syukur punya kakak seperti dia walaupun kami tidak lahir dari rahim yang sama. Bukan tentang dia sebenarnya yang ingin aku bicarakan cuma sekadar mengimbau kenangan bersama dia yang ku panggil teman. Fokus aku adalah pada butir bicara Kak Idah tadi. Dia bertanyakan kalau2 aku sudah mendapat jemputan walimatul urus dari beberapa orang teman syu’bah kami yang akan melangsungkan pernikahan hujung tahun ini.

Setakat ini, aku belum menerima sebarang jemputan selain dari jemputan walimatus urus Akhi Lukman. Berita ini ku sambut dengan penuh kesyukuran. Laju saja meluncur di mulutku ucapan ALHAMDULILLAH. Sejujurnya aku sangat teruja dengan apa yang baru aku dengari..bahawa teman2ku bakal menamatkan zaman bujang mereka sedikit masa lagi. Rata2 mereka lebih memilih untuk bernikah daripada meneruskan pengajian. Bagiku ini bukan satu kesalahan bahkan aku bangga dengan mereka kerana aku yakin bahawa saat mereka membuat keputusan ini, mereka telah nekad, telah menetapkan haluan mereka sama ada mahu ke syurga atau neraka. Menikah dalam usia muda bukan isu baru. Malah semasa menuntut di universiti, ramai teman2 seusiaku menggunakan kesempatan cuti semester untuk melangsungkan pernikahan.

Masih jelas dalam ruang ingatanku, bagaimana seorang teman syu’bah menghulurkan kad walimatul urusnya padaku di dewan peperiksaan betul2 selepas tamatnya imtihan terakhir untuk diploma semester 6. Aku sikitpun tidak terkejut kerana bernikah saat dan ketika itu, dalam usia yang kukira masih muda seolah2 sudah menjadi fenomena biasa. Seorang teman pernah menanyakan bila saatnya aku akan menikah? Ini saja yang dapat ku hidangkan padanya sebagai jawapan. ‘Hukum nikah ada 5. Wajib, haram, harus, makruh, sunat. Jadi nilailah diri kita berada di tahap mana. Apa yang pasti, ana belum sampai tahap wajib. InsyaAllah, tiba saat ana nak berumahtangga nanti, ana akan maklumkan’. Balasku dengan senyuman.

Aku jadi teringat pada seorang teman yang pernah melewati kamar hidupku. Sudah dewasa rupanya dia dan seperti teman2 lain, dia juga bakal melangsungkan pernikahannya pada hujung tahun ini. Baguslah. Tahniah buat semua. Kalian masing2 bakal melengkapi sebahagian dari agama kalian. Dalam kegembiraan menyambut berita pernikahan teman2, entah kenapa hatiku tiba2 diusik hiba. Aku bagaimana? Aku masih disini dan kekal begini, tetap dengan sebuah harapan dan impian yang aku sendiri tidak pasti bila akan terlaksana. Apa yang pasti, bukan sekarang. Mungkin 4 atau 5 tahun lagi atau mungkin lebih dari itu. Atau siapa tahu mungkin saja ajal mendahului aku sebelum lafaz ijab dan kabul sempat dizahirkan. Wallahhualam.

Aku ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah buat teman2 yang bakal melangsungkan pernikahan tidak berapa lama lagi. Buat Akhi Hafiz Sabarani dan Akhi Lukman Taifor, selamat berbahagia bersama gadis pilihan. Pesanku pada kalian, jagalah ‘rusuk kiri’ kalian itu dengan sebaik2nya. Janganlah terlalu keras saat meluruskan kerana dikhuatiri rusuk yang bengkok itu akan patah dan janganlah terlalu lembut hingga rusuk yang bengkok terus kekal bengkok. Berhati2lah saat meluruskannya. Juga titipan khas buat Ukhti Basyirah dan Ukhti Anis yang akan membina masjid tidak berapa lama lagi, tahniah juga ku ucapkan buat kalian. Pesanku, jadilah isteri solehah, isteri yang terbaik dalam melewati hari2 bersama suami kalian. Taatilah suami selagimana suami tidak menyuruh berbuat kemungkaran. Isteri adalah hamparan dunia sedang suami adalah langit penaungnya. Peganglah pepatah kegunung sama didaki, ke lurah sama dituruni,hati nyamuk sama di lapah, hati kuman sama dicicah, yang berat sama di pikul,yang ringan sama di jinjing. Mudah2an, dengan memahami pepatah melayu ini dengan ‘ sebenar2 faham’ , kalian bisa beriringan dengan suami kalian saat menjejakkan kaki ke syurga jannah. InsyaAllah. Selamat melangkah ke syurga dunia :-)


AL HAQIRAH ILALLAH

0 comments:

Post a Comment