Wednesday, November 4, 2009

BETUL..BETUL..BETUL..



‘CERAMAH TANPA TAULIAH , DR ASRI DITAHAN’ Itu tajuk muka depan akhbar Utusan hari ini. Aku sendiri tidak pasti apakah aku harus simpati atau gembira dengan berita ini. Semasa dalam perjalanan pulang dari Cemomoi tadi, aku sempat bertanyakan ayah tentang berita yang terpampang di muka depan akhbar itu, sekadar untuk melihat reaksi ayah.

Dalam kepenatan (sambil menyandarkan badan di kusyen kereta sebelah pemandu dengan mata tertutup), ayah menggagahkan diri untuk memberi respon pada pertanyaanku. Bilang ayah, ayah tak sempat baca akhbar hari ni sebab banyak urusan perlu diselesaikan di Kuantan tadi. Cuma kata ayah, ramai orang marah pada Dr Asri sebab Dr Asri sudah terlalu banyak memperlekehkan ulama’. Imam Ghazali tak betul, Imam Syafie tak betul, semua tak betul. Kalau dah semua tak betul, siapa yang betul? Dia sorang aje yang betul. Bak kata Upin dan Ipin, betul, betul, betul. Hehehe.

Ujar ayah lagi, dari sudut Islam, ceramah tanpa tauliah bagi orang yang benar ilmunya bukan 1 kesalahan tetapi dari sudut undang2 manusia, salah. Sama macam kita bawak kereta. Bawak kereta tanpa lesen bukan satu kesalahan tetapi mengikut undang2 ciptaan manusia, salah kerana melanggar peraturan jalanraya. Kalau tak jumpa dengan polis, boleh lepas, tapi kalau nasib tak baik? Kena samanlah jawabnya. Macam tulah hal yang terjadi pada Dr Asri. Kata ayah lagi, mungkin masa Dr Asri jadi mufti dulu, dia tak ambik tauliah untuk berceramah di semua negeri. Dia kan mufti kontrak, ulama’ yang paling ‘kamcing’ dengan Shahidan. Dr Asri pakar hadith. Dia memang hebat bab2 hadith ni cumanya silap dia sebab dia nak buat apa yang ada dalam hadith saja. Yang takde, tinggal. Tak bolehlah macam tu sebab dalam islam, kita ada sumber perundangan hukum Islam yang lain. Kita ada Ijmak, ada Qias. Contohnya macam lampu isyarat. Ada sebut dalam hadith? Takde. Tentang jangan bawak kereta laju2. Ade sebut dalam hadith? Takde sebab masa zaman nabi belum wujud kereta. Tapi ulama’ gunakan ijtihad berdasarkan Qias yang terdapat pada ayat ‘wa la tulku biaidikum ila tahlukah’-janganlah kamu campakkan diri kamu kearah kebinasaan. Kan bawak kereta laju2 tu boleh sebabkan kita accident? Accident tu lah yang dimaksudkan dengan ‘kebinasaan’.


Kata2 ayah tentang Dr Asri kembali mengingatkan aku tentang soalan yang aku ajukan padanya semasa beliau datang memberikan ceramah di Terengganu tahun lepas. Ketika itu dia masih lagi menjawat jawatan Mufti Perlis. Aku bertanyakan tentang cadangannya supaya kitab bible diterjemahkan kedalam bahasa melayu bagi membetulkan salah faham yang terdapat didalam bible itu sendiri. Laju saja mulutku menuturkan ‘kalau cadangan Dato’ disuakan pada golongan cerdik pandai Islam, saya fikir itu bukan satu masalah tetapi jika golongan sasaran Dato’ adalah mereka yang datang ke masjid dan surau, saya fikir cadangan tersebut harus dikaji semula sebelum dilaksanakan. Sedangkan Al Quran sendiri tak sempurna dipelajari oleh umat Islam, apatah lagi kita nak mengajarkan bible yang ternyata sesat dan menyesatkan. Bukan dari kalangan umat Muhammad yang tempang langkah, sumbing bicara’.
Dengan nada tegas beliau menjawab ‘mungkin saudari silap faham apa yang saya tulis. Cuba tengok Ahmad Deedad. Dia juga mengajarkan dan menterjemahkan bible bagi membetulkan salah faham yang terdapat dalam bible. Dia cuba buat perbandingan diantara Al Quran dengan bible supaya orang boleh buat penilaian dan akhirnya masuk Islam kerana mengakui kebenaran Al Quran’. Aku yang belum berpuas hati dengan responnya bangun semula dan membuat pernyataan balas ‘betul Syeikh Ahmad Deedad ajar bible tapi dia ajar kepada orang Kristian yang hari2 baca bible, yang dah tau isi kandungan bible. Bukan pada orang Islam’.


Dr Asri tetap tidak mahu mengalah. Dia masih tetap dengan pendiriannya dan hujah2nya. Bila aku ingin bangun untuk kali ketiga, teman yang duduk disebelahku segera menghalang. Katanya, bertenang. Sabar saja. Dr Asri memang tidak akan mengalah. Dengar saja apa yang ingin disampaikan. Mendengar nasihat itu, aku segera istighfar. Betul kata temanku. Tokoh’ kontroversi seperti DR. Maza itu memang tidak akan mengalah. Jadi aku diam saja sampai habis ceramah. Sebaik selesai ceramah, aku mendapat satu mesej dari nombor yang tidak aku kenali. Didalam mesej itu tertulis ‘Mafhum Hadith : Barangsiapa yang mengelakkan dirinya dari sebarang perbalahan sekalipun dia berada di pihak yang benar, maka Allah akan mengurniakannyq sebuah taman di taman syurga’. Sampai ke hari ini aku tidak tahu siapa pengirim mesej tersebut cuma aku andaikan mungkin mesej itu datangnya dari akhawat yang turut mengikuti ceramah Dr Asri. Itu tidak penting. Yang pentingnya, isi kandungan mesej itu yang mengajar aku supaya melebihkan sabar dalam apa juga perkara. Sekadar meminjam trademark Upin dan Ipin, Betul, betul, betul. Semoga Allah berikan kita hidayah dan magfirah dalam melalui hari2 didunia yang bakal ditinggalkan ini. Amin.



ANALISIS ISU PENAHANAN DR. ASRI TANPA TAULIAH



Penangkapan DR. MAZA oleh JAIS dan polis tempoh hari menimbulkan polimik yang berterusan. Timbul pelbagai pro dan kontra dalam setiap kupasan isu tersebut sama ada di media massa, eloktronik, di kalangan ilmuwan, orang awam dan sebagainya. Bagi yang bersetuju dengan DR. MAZA akan terus memberikan sokongan kepadanya dan membantah pihak JAIS. Bagi mereka DR. MAZA di pihak yang benar dan JAIS adalah pihak yang salah. Manakala, bagi pihak yang menyokong penangkapan MAZA akan terus menyokong JAIS dan terus menolak MAZA. Bagi mereka, JAIS di pihak yang benar kerana membendung fahaman yang dibawa oleh MAZA (Salafi-Wahabi).


Wajar atau tidak penangkapan DR. MAZA bukanlah isu. Praktikalnya beliau ditahan oleh JAIS adalah kerana TIDAK MEMILIKI TAULIAH dan memberikan terus ceramah di serata tempat tanpa menghiraukan enakmen undang-undang yang telah ditetapkan oleh JAIS di negeri Selangor. Undang-undang itu bukan sahaja bertujuan untuk memastikan hanya mereka yang berkelulusan dibenarkan mengajar. Ia juga bertujuan agar mereka yang tidak sesuai dan layak, dapat dihalang daripada mengajar walaupun mempunyai pelbagai kelulusan dan gelaran akademik. Jika ada yang tidak sesuai dan layak tetapi masih berdegil untuk mengajar walaupun telah diberikan amaran, maka tidak salahlah tindakan penahanan diambil jika dirasakan perlu.
Melalui seksyen 118 (3) EPAINS 2003 memperuntukkan bahawa Jawatankuasa Tauliah hendaklah mempunyai kuasa untuk memberikan tauliah bagi maksud pengajaran agama Islam atau apa-apa perkara tentang agama Islam dan untuk menarik balik tauliah itu. Peruntukan ini juga sama dengan peruntukan di negeri-negeri lain.


Selanjutnya, menurut Peraturan 8, Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008, Jawatankuasa Tauliah turut mempunyai kuasa untuk menetapkan syarat atau sekatan kepada penerima tauliah.

Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 turut memperuntukkan penalti bagi kesalahan mengajar agama tanpa tauliah. Seksyen 119, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan bahawa:
1. Mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang Islam tanpa tauliah di bawah seksyen 118 adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.


Peruntukan undang-undang berkaitan dengan tauliah ini, jika dinilai secara zahirnya, seolah-olah menyekat kepada perkembangan dakwah Islam. Ia bertentangan dengan peranan agensi agama seperti MAIS dan JAIS, kerana syarat-syarat yang dikenakan terhadap penceramah mungkin mengurangkan aktiviti penyebaran syiar Islam.

Bagaimanapun, perkara ini perlu dilihat secara holistik iaitu dalam konteks menjaga agama dan akidah umat Islam. Peruntukan ini diwujudkan untuk memastikan bahawa pengajar dan pengajaran agama yang disampaikan adalah selaras dengan dasar-dasar pihak berkuasa agama dan hukum syarak serta bersumberkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.


Di negeri Perlis sendiri turut memperuntukkan undang-undang yang sama. Mengikut: Kesalahan-Kesalahan Di Bawah Enakmen Jenayah Dalam Syarak 1991 Negeri (Perlis), disebutkan pada: Bilangan: 29 Seksyen: 33- Kesalahan: MENGAJAR AGAMA TANPA KEBENARAN:- Hukuman: Denda RM1,000 @ Penjara 6 bulan @ kedua-duanya. Bil: 30 Seksyen: 34*- MENGAJAR @ MENJALANKAN SESUATU ISTIADAT YANG BERTENTANGAN DENGAN HUKUM SYARAK YANG DIAMALKAN DI NEGERI PERLIS Hukuman: Denda RM5,000 @ Penjara 3 tahun @ kedua-duanya. * Boleh tangkap tanpa waran. [dinukil daripada http://islam.perlis.gov.my/index_files/penguatkuasa.htm].

Di kalangan masyarakat umum, mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa pula seorang seperti beliau yang memiliki PhD, apalagi sebagai mantan Mufti Perlis dikatakan tidak sesuai dan tidak layak mengajar? Bukankah PhD itu adalah bukti tidak memerlukan tauliah, seperti dakwa beliau? Jawaban pokok kepada soalan ini adalah, DR. MAZA sebenarnya mewakili dan menjuarai suatu aliran pemikiran yang tidak selari dengan fahaman Islam sebenar atau yang biasa dinamakan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). Oleh kerana fahaman Islam ASWJ menjadi pegangan asas para ulama dan pihak berkuasa agama di semua negeri di Malaysia, maka DR.MAZA dalam banyak hal menjadi tokoh yang sangat kontroversial kerana beliau sering menimbulkan pandangan yang mengelirukan masyarakat dan secara langsung atau tidak, menggugat kestabilan hidup beragama di negara kita. Apalagi, daripada kebanyakan ceramah dan tulisan beliau, sering membidaahkan fahaman dan amalan agama masyarakat.

Oleh kerana beliau jelas mengambil pendekatan bertentangan dengan arus perdana Islam di Malaysia iaitu tidak mengikuti sawaid a’zham, maka tidak hairanlah beliau diminati oleh sebahagian tokoh, individu dan organisasi yang sememangnya prejudis terhadap arus perdana Islam di Malaysia. Beliau turut diminati oleh mereka yang cenderung terlebih liberalis, rasionalis dan 'pemberani' dalam soal-soal agama kerana mereka ini juga terasa terbatas dengan kuatnya arus perdana Islam ASWJ di Malaysia. DR.MAZA juga menerima dokongan atau sekurang-kurangnya simpati segelintir tokoh agama dan orang politik yang memang sealiran dengan beliau. Aliran Islam yang diperjuangkan oleh DR.MAZA boleh digelar pelbagai nama walaupun beliau sendiri cenderung menggunakan istilah yang bunyinya lebih positif seperti 'tajdid' atau 'kaum muda' atau ‘salaf” serta mengelakkan istilah yang lebih kontroversi seperti 'Wahhabi'.


Sesiapa pun yang sedia mengkaji secara tekun dan jujur segala ucapan, tulisan dan sikap DR.MAZA (yang kebanyakannya boleh didapati di laman webnya) dengan berlatarbelakangkan pertembungan aliran ASWJ dan aliran-aliran pinggiran, akan segera banyak mengesan pola-pola pemikiran yang bertentangan dengan jumhur (majoriti) umat. Taklid dan hormat kepada tokoh ulama dan mazhab ditentang hanya untuk digantikan secara halus dengan taklid kepada tokoh dan alirannya sendiri. DR.MAZA juga sering menyeru kepada minda yang terbuka tetapi pada masa yang sama sering mempermasalahkan perbezaan pandangan dalam isu-isu ranting (khilafiyah) hingga menimbulkan ketegangan sesama Islam. Pandangan mazhab dan jumhur ulama kerap digambarkan sebagai ketinggalan dan jumud sedangkan dalam pelbagai persoalan lain aliran ini jauh lebih ketat dan keras daripada pandangan jumhur ulama. Paling keras dan agresif, aliran yang sedang dikesinambungan oleh beliau itu banyak membidaah dan menyesatkan umat Islam dalam beramal menurut aliran bermazhab.


Lampiran:-
Di sini disertakan catatan perjalanan dakwah Habib Munzir Al-Musawa pada bulan November 2007 sebagai renungan:

PERLIS

PERLIS adalah salah satu wilayah gerakan wahabi terbesar di Malaysia, Mufti (ketua ulama) terpilih di wilayah tersebut adalah seorang muda yang sangat menentang salafus shalih, mencaci para wali dan memusyrikkan muslimin sebagaimana wahabi lainnya, namun ia tak ingin disebut sebagai wahabi, ia mengaku bermadzab Syafii tulen, sebagian besar masyarakat muslimin setempat adalah ahlussunnah waljamaah, namun sebagaimana di negeri kita pun demikian, bahwa muslimin muslimin tidak tanggap dalam hal-hal yang berbahaya yang dapat merusak akidah muslimin.


Acara direncanakan diadakan di surau pimpinan Assyeikh Al-Fadhil Adda’i ilallah Ustaz Yusaini, seorang ulama muda yang sangat gigih menentang ajaran wahabiy di Perlis, acara kami pun terdengar pada mufti, maka mufti (DR.MAZA) mengeluarkan larangan dan menuduh majelis yang akan diadakan ini adalah majelis orang syiah, namun kegigihan Ustaz Yusainiy memperjelas profil kami membuat tuduhan itu tak beralasan, lalu majelis difitnah pula sebagai majelis politik, namun tuduhan itu pun berhasil disanggah oleh Ustaz Yussaine, namun ketika terlihat masyarakat muslimin menyambut hangat majelis akbar ini, maka fihak mufti mempermasalahkan izin masuk dari Imigrasi Malaysia, apakah saya mempunyai izin resmi untuk berdakwah di Malaysia dari Kerajaan Malaysia?, padahal bahwa tak pernah ada undang-undang pelarangan dakwah terkecuali yang berdakwah membawa kesesatan dan menentang kerajaan Malaysia.


Akhir keputusan adalah larangan mutlak dari pihak Perlis bagi saya untuk berbicara pada acara tersebut, dan perintah penangkapan atas saya jika Ustaz Yussaine masih bersip keras mengajukan saya untuk menyampaikan taushiyah di Majelis Tablig Akbar tersebut. Maka saya berbicara dengan lembut pada Ustaz Yusainiy, saya tak risau ditangkap, karena saya akan menghubungi pihak Mabes Polri di Jakarta untuk meminta pihak Mabes Polri menjamin kebersihan dakwah saya dibawah jaminan Mabes Polri, namun tampaknya para pemuda kita di sana risau dan tak ingin sesuatu menimpa saya, maka majelis dibatalkan. Hadirin berdatangan sekitar seribu personil, mereka sudah siap untuk hadir dan mendengarkan, maka ketika diumumkan dengan lugas oleh Ustaz Yussaine bahwa pembicara dilarang berbicara oleh pihak Perlis, hadirin kecewa dan bubar, Jumaat pagi saya menuju Kuala Lumpur.
- Rujukan : MajelisRasulullah

Bagi kita sebagai khalayak yang mengikuti isu seperti ini, wajar mengambil pendekatan yang adil dan saksama dalam menilainya. Paling penting, kita tahu asal usul sesuatu isu tersebut, barulah segala penilaian yang dibuat nanti jauh daripada kesilapan, meskipun barangkali pandangan kita tidak tepat. Paling tidak pun, sesuatu isu yang kita menilai itu mestilah berasaskan ilmu yang kukuh dan utuh, di samping sentiasa merujuk kepada individu yang lebih arif dan faham hakikat sesuatu yang dibicarakan. Ini sejajar dengan firman ALLAH di dalam Al-Quran, mafhumnya: “Bertanyalah kepada ahli zikr (ahli ilmu), jika kamu tidak mengetahui.”


AL HAQIRAH ILALLAH

0 comments:

Post a Comment